Sunday, May 8, 2011

Konsert Ke 5: Berakhirnya Perjuangan Afif Dalam AF9

KUALA LUMPUR, 7 MEI 2011: Nasib nyata tidak berpihak kepada Afif atau Ahmad Afif Bin Tirmizie apabila dia menjadi pelajar seterusnya yang tersingkir dalam konsert minggu ke-5 program realiti Akademi Fantasia 9 (AF9), yang berlangsung dari Pusat Penyiaran Asia, Bukit Jalil sebentar tadi.

Membawakan lagu Malam nyanyian asal kumpulan Pengetua AF9, Search, penyingkiran Afif telah diumumkan hos Aznil Hj Nawawi selepas pelajar yang berasal dari Pekan, Pahang itu menerima jumlah undian terendah menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada penonton.

Konsert yang bersiaran secara langsung menerusi Astro Ria (Saluran 104) itu pada malam ini dilihat berjaya apabila rata-rata pelajar memberikan persembahan yang memuaskan sehingga mendapat komen positif dari pengkritik.

Antara kelainan pada konsert ini ialah apabila kelab peminat setiap pelajar diberi peluang membuat persembahan di atas pentas sebelum persembahan dari pelajar itu sendiri. Ironinya, walaupun persembahan dari kelab peminat Afif telah memenangi persembahan terbaik, ianya tidak dapat mennyelamatkan Afif dari tersingkir pada malam ini.

Di penghujung konsert, tampil Jaclyn Victor, Sheila Hamzah dan guru vokal AF9 sendiri, Ning Baizura untuk membuat persembahan istimewa dengan lagu Beribu Sesalan.

Dengan penyingkiran Afif ini, bermakna tinggal 7 lagi pelajar akan meneruskan perjuangan mereka meraih gelaran juara AF9. Pengkritik jemputan pada konsert ini ialah Edrie Hashim disamping Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Hattan sebagai pengkritik tetap.

sumber: Murai

No comments:

Post a Comment